Kenyataan penuh: SEMENYIH, SELANGOR, 15 Februari 2019 – UEM Sunrise Berhad ("UEM Sunrise" atau "Syarikat"), salah satu pemaju hartanah terkemuka dan pemaju induk Iskandar Puteri Malaysia telah menyerahkan kunci bagi bangunan baharu Sekolah Rendah Agama (SRA) yang terletak di Kampung Batu Tiga di Semenyih kepada Jabatan Agama Islam Selangor di sini semalam.
Acara tersebut telah diadakan di bangunan sekolah yang baharu bersempena dengan 'Program Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor' ke Hulu Langat. Replika kunci bagi sekolah tersebut telah diserahkan oleh Pengarah Wilayah Tengah 1, UEM Sunrise Berhad, Zulkifly Garib kepada Datuk Haris Kasim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, disaksikan oleh Amiruddin Shari, Menteri Besar Selangor dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman.
"Kami memutuskan untuk membina SRA Kampung Batu Tiga yang baharu sebagai sebahagian daripada pembangunan kami di Serene Heights yang merupakan pembangunan perbandaran campuran bersepadu oleh UEM Sunrise. Justeru, dengan siapnya sekolah ini, kami berharap pelajar akan dapat belajar dalam suasana yang selesa dan kondusif sambil menikmati kemudahan yang disediakan, "kata Zulkifly Garib.
Pada ketika ini, sekolah tersebut mempunyai seramai 191 orang pelajar yang akan berpindah ke bangunan baharu awal bulan March 2019. Sekolah ini dilengkapi dengan 12 buah bilik darjah dan boleh menampung sebanyak 400 pelajar, telah dibina dengan kos sebanyak RM8.5 juta dan telah ditempatkan semula 700-meter dari tapak bangunan lama.
UEM Sunrise juga menyampaikan cek pampasan kepada sembilan pemilik tanah dari Kampung Batu Tiga. Sejumlah 2.261 ekar tanah telah dibeli oleh UEM Sunrise semasa proses pengambilan tanah bagi membina semula bangunan baharu untuk SRA Kampung Batu Tiga tersebut.
***tamat***